Astro Malaysia Holdings Berhad (AMHB) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pada RM169 juta, peningkatan 920 peratus bagi suku kedua tahun kewangan berakhir Januari 2020.

Prestasi memberangsangkan itu dipacu langkah mendisiplinkan kos yang dilaksanakan syarikat disebalik landskap industri media penuh persaingan.

“Astro terus merekodkan PATAMI kukuh melalui disiplin kos untuk mengoptimumkan perbelanjaan kandungan dan operasi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata meskipun industri media penuh kompetitif, namun Astro kekal berdaya tahan dan merekodkan pertumbuhan mampan.

“Dalam landskap media yang kompetitif, Astro kekal menjana tunai kukuh, disiplin dalam pengurusan kos dan proaktif dalam pengurusan modal.

“Lembaga Pengarah dengan ini mengumumkan dividen 2 sen sesaham,” katanya.

Sementara itu, Astro turut merekodkan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM437 juta, peningkatan 51 peratus.

Selain itu pendapatan kumpulan juga kukuh pada RM1.2 bilion dan pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) mencecah RM100.

Bagi pengiklanan pula, Kumpulan Astro merekodkan perbelanjaan operasi RM86 juta, peningkatan 8 peratus tahun ke tahun.

Astro masih mengekalkan penguasaan pasaran dengan menembusi 76 peratus isirumah Malaysia dengan tawaran kandungan vernakular dan premium.

Bergerak ke hadapan, Astro menjangkakan pasaran kekal mencabar susulan perubahan struktur dalam industri kandungan, media dan pengiklanan global termasuk ancaman cetak rompak.

Sehubungan itu Astro terus memberi tumpuan kepada asas perniagaan iaitu TV berbayar (paid TV) dan NJOI bagi menawarkan kandungan dengan pengalaman terbaik buat pelanggan.