Keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) susut 46.7 peratus kepada RM1.41 bilion pada Separuh Pertama Tahun Kewangan 2020 berbanding RM2.65 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keuntungan lebih rendah itu disebabkan kemelesetan ekonomi berikutan wabak COVID-19.

Tanbah beliau, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta tukaran mata wang asing yang tidak stabil juga menyumbang kepada penyusutan itu.

“Pendapatan Kumpulan menyusut 13.7 peratus kepada RM22.55 bilion daripada RM26.12 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

“Ia berikutan pulangan yang lebih rendah daripada subsidiari dan Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) pada keadaan rebat RM520 juta berbanding keadaan surcaj RM1.79 bilion pada separuh sama tahun lalu.

“Jualan elektrik untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini yang terkesan berikutan penutupan premis perniagaan ketika PKP menyederhana ke 53,535.7 GWj berbanding 58,521.1 GWj untuk tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Tambah beliau, dalam keadaan yang mencabar kini, Lembaga Pengarah menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur untuk separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

“Ia disokong dengan kegiatan perniagaan yang semakin rancak berikutan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Kumpulan juga mengambil langkah cermat dari segi keperluan operasi dan kewangan bagi memastikan ia kekal kukuh,” ujarnya.

Katanya lagi, margin keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Kumpulan meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun

“Ia berikutan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 19.6 peratus pada separuh pertama 2020 selepas Kumpulan melakukan penyesuaian terhadap keperluan operasi terkini,” katanya.

Tambahnya lagi, di sebalik semua cabaran, TNB tetap komited dengan polisi dividennya untuk membayar dividen interim sebanyak RM1.26 bilion kepada pemegang saham bersamaan 22.0 sen dividen per saham.