Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dijangka menyumbang 41 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara menjelang tahun 2020.

Seiring dengan sasaran ini, CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad telah mengadakan kerjasama strategik bersama Credit Guarantee Corporation Malaysian Berhad (CGC) bagi membantu pembangunan PKS.

Di bawah dana pembiayaan Islamik berjumlah RM2 bilion yang disalurkan oleh CIMB Bank dan CIMB Islamic menerusi Skim Jaminan Portfolio-i, 70 peratus dari jumlah pembiayaan akan dijamin oleh CGC.

CGC menyasarkan untuk membantu pengusaha PKS yang ingin mendapatkan kemudahan kredit dari institusi kewangan dengan menyediakan perlindungan jaminan ke atas kemudahan kredit tersebut.

Semenjak penubuhannya, CGC telah memberi jaminan kepada lebih 460,000 pembiayaan perbankan bernilai lebih RM70 bilion.

CIMB melihat potensi besar dan keunikan koridor halal Malaysia dengan ekosistem pasarannya yang kukuh selain mempunyai rangkaian serantau mampan yang mampu menyokong dan membantu usahawan PKS menembusi pasaran global.