Kerajaan sudah mengenal pasti langkah penjimatan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Langkah itu tertumpu kepada semakan semula pebelanjaan meliputi pengecilan, penangguhan dan pemansuhan program dan projek yang bertindih serta tidak mendesak.

"Projek-Projek yang diberikan secara rundingan terus atau melalui tender terhad akan disemak dan sesetengah dari projek itu boleh dibatalkan.

"Kontrak menaiktaraf dan memperbaiki Bangunan Sultan Abdul Samad bernilai RM350 juta antara contoh yang boleh dibatalkan," kata Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, beberapa projek mega seperti HSR dan MRT 3 akan dibatalkan, manakala perbelanjaan lain seperti projek khas di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), suntikan modal ke dalam pelbagai dana, pemindahan dana kepada pihak berkuasa koridor ekonomi akan turut disemak semula.

"Susulan pengumuman GST berkadar sifar bermula 1 Jun 2018, hasil kerajaan dijangka berkurang sebanyak RM21 bilion.

“Namun dengan peningkatan harga minyak dunia (purata AS$70 setong), jangkaan kenaikan hasil berkaitan minyak dunia hanyalah sebanyak RM5.4 bilion,” menurut kenyataan itu lagi.

Kerajaan Persekutuan juga akan memastikan defisit dapat dikawal pada kadar 2.8 peratus.

"RM5 bilion dianggarkan akan diperoleh daripada dividen Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional Berhad dan Petronas.

“Kami akan pastikan baki semasa setelah ditolak perbelanjaan mengurus, akan kekal dalam lebihan,” katanya lagi.