Kerajaan mungkin perlu mengubahsuai Bajet 2017 pada tahun depan, memandangkan senario ekonomi mungkin tidak begitu menarik pada masa itu, kata Pengerusi Taxand Malaysia Dr Veerinderjeet Singh.

Beliau berkata, pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan pada Jan tahun ini, terpaksa dilakukan selepas harga minyak global mencatatkan penurunan.

"Bagi 2017, jika harga minyak kekal stabil, ia mungkin bagus tetapi jika iklim ekonomi masih tidak bertambah baik, kutipan cukai terus susut serta hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST) menurun... saya fikir kerajaan perlu membuat pengubahsuaian bajet sama ada dalam suku tahun pertama atau kedua.

"Kami berharap ini tidak akan berlaku tetapi ia adalah sesuatu yang perlu diambil kira," katanya pada sidang media sempena dengan Seminar Unjuran dan Cabaran Bajet 2017 di sini, pada Rabu.

Veerinderjeet berkata, pengumuman pengubahsuaian bajet tidak akan berlaku seawal Januari memandangkan kerajaan perlu memantau dan mengumpul data daripada sektor korporat bagi petunjuk kemungkinan pengubahsuaian bajet dalam suku pertama atau kedua.

Sementara itu, Taxand Malaysia menyambut baik penubuhan agensi "Collection Intelligence Arrangement" yang diberi tugas untuk meningkatkan kecekapan dalam pengutipan cukai dan pematuhan.

Katanya, memandangkan ini merupakan kerjasama antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ia akan membabitkan kesepaduan dalam maklumat Kastam dan LHDN.

Mengulas mengenai kemungkinan penggabungan antara Kastam dan LHDN berhubung dengan kutipan cukai, beliau berkata: "Apabila GST diumumkan, ramai daripada kami telah berunding dengan pihak berkuasa dan kami mencadangkan bahawa mereka (Kastam dan LHDN) digabungkan, tetapi ini tidak dapat dilakukan.

"GST berada di bawah Kastam dan ia merupakan sebuah jabatan kerajaan manakala LHDN adalah jabatan telah dikorporatkan.

"Hanya apabila Kastam dikorporatkan, barulah mungkin untuk menggabungkan elemen Kastam dan GST dalam LHDN," katanya.

Veerinderjeet berkata, Taxand Malaysia yakin dengan penggabungan unit GST Kastam dengan LHDN kerana jika semua berada bawah satu bumbung, satu audit tunggal meliputi cukai pendapatan dan GST boleh dilakukan. -- Bernama