Kerajaan akan mengkaji peruntukan perundangan berkaitan pinjaman bayaran kredit sedia ada dalam usaha pengamalan patuh syariah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata akta berkaitan akan digubal semula terutama berkenaan caj bayaran lewat.

"Bagaimanapun, sistem kewangan sedia ada akan digubal semula termasuk akta baharu bagi memenuhi patuh syariah.

"Ia termasuk akta berkaitan makro kredit yang kita berikan untuk memastikan ia patuh syariah. Kita akan mengkajinya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang meminta langkah KPDNKK dalam usaha melindungi peminjam yang dikenakan caj bayaran lewat oleh Syarikat Pemberi Kemudahan Kredit.

Tambah Hamzah, caj bayaran lewat yang dikenakan kini antara RM10 hingga RM40 bagi kelewatan antara satu hingga 30 hari.

Justeru pihaknya mahu memastikan caj yang akan dikenakan tidak membebankan pengguna dan peminjam.