Bank Dunia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup kepada 3.1 peratus.

Menerusi Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia bertajuk ‘Surviving the Storm’, unjuran itu dilihat realistik disebabkan oleh pergerakan ekonomi yang perlahan dalam usaha menangani wabak COVID-19.

Bagaimanapun, Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan semula ekonomi Malaysia kepada 6.9 peratus pada 2021.

Namun, laporan itu menyatakan bahawa unjuran tersebut boleh berubah dengan drastik bergantung kepada situasi kawalan pandemik itu di Malaysia dan pelaksanaan sistem perlindungan sosial.

Malah, pelaburan agregat juga menguncup lima suku tahun berturut-turut akibat pengurangan pelaburan awam dan swasta.

Selain itu, akibat permintaan luar yang lemah, eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia menjunam tiga suku tahun berturut-turut kepada 7.1 peratus, penurunan terendah sejak krisis kewangan global pada 2009.

Ketua Ekonomi, Kumpulan Bank Dunia, Richard Record berkata penularan pandemik COVID-19 secara meluas di peringkat global memaksa banyak negara melaksanaan langkah-langkah sokongan dasar fiskal dan monetari.

“Dijangkakan penguncupan yang ketara sekitar 10 peratus pada suku kedua 2020, telah menerima kesan ketara terhadap ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku tersebut.

“Kita berharap pemulihan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini selepas wabak dilihat semakin berkurangan dan mobiliti akan kembali seperti sedia ada,” katanya.

Jelasnya, menerusi semua faktor tersebut, unjuran jangka pendek ekonomi Malaysia sukar untuk dipastikan pada masa ini. 


Bagaimanapun, katanya ekonomi Malaysia tetap berdaya tahan dan bergantung pada asas yang kuat.

Selain itu, struktur ekonominya yang pelbagai, sistem kewangan yang mantap, tindak balas kesihatan awam yang berkesan dan sokongan dasar makroekonomi yang proaktif menunjukkan bahawa Malaysia akan dapat mengatasi pandemik ini dengan lebih baik daripada banyak negara lain.