Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak mengesahkan isu pembelian saham Petronas tidak termasuk dalam agenda mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63.

Ia dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada petang Isnin.

Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan adalah perbincangan di antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal sahaja.

CMO dalam kenyataan itu juga mendedahkan pembelian kepentingan dalam syarikat subsidiari Petronas tidak boleh disamakan dengan pembelian yang sama di Petronas sebagai syarikat induk.

Malah Sarawak mempunyai kepentingan dalam anak syarikat Petronas iaitu LNG dan merupakan rakan kongsi ekuiti dalam Shell Middle Distillate Synthesis (SMDS).

Abang Johari sebelum ini mendedahkan kerajaan Sarawak belum menerima sebarang tawaran dari pihak Kerajaan Persekutuan mahupun Petronas.

Kenyataan Akhbar Pejabat Ketua Menteri Sarawak

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen dalam laporan akhbar tempatan beberapa hari lepas mendedahkan bahawa cadangan untuk penyertaan Sarawak dalam ekuiti Petronas telah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63.

Malah kata Chong, Abang Johari yang menghadiri mesyuarat itu, menunjukkan beliau tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan itu.