Langkah positif terbaik oleh syarikat penerbangan buat masa kini ialah untuk memastikan SOP kelaziman baharu dilaksanakan dengan sempurna agar risiko COVID-19 kepada penumpang dan kakitangan dapat berada di tahap minima.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Chester Voo berkata, industri penerbangan nyata mengalami kesan yang serius terutamanya dari segi permintaan dan kewangan, ekoran penularan wabak itu.

Namun, jelasnya lagi, beliau percaya industri penerbangan Malaysia akan kembali bangkit dan dan dapat menyesuaikan keadaan dengan pelaksanaan SOP dan norma baru itu.

“Saya ingin menekankan mengenai SOP yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia yang memastikan kepatuhan kepada SOP daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan juga garis panduan berkaitan penerbangan awam yang telah dikeluarkan oleh pihak CAAM.

“Syarikat-syarikat penerbangan di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam menjaga keselamatan kakitangan dan penumpang dengan mengeluarkan SOP yang amat comprehensive dan mantap. Ia disediakan agar operasi penerbangan domestik di Malaysia dapat diteruskan sebagai satu langkah untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI.

Baru-baru ini media melaporkan, syarikat penerbangan AirAsia pada suku tahun pertama akhir 31 Mac lepas, telah mencatatkan kerugian bersih RM803.85 juta, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta pada suku tahun yang sama untuk tahun 2019.

Selain itu, syarikat tersebut turut dilaporkan bakal menamatkan perkhidmatan 111 kru kabin daripada 1,900 kru, 172 juruterbang dan 50 jurutera dalam usaha pengecilan operasi.

Mengulas mengenai kesan industri penerbangan ke atas ekonomi serantau, Chester berkata, fokus utama syarikat penerbangan di Malaysia adalah memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan.

“Dengan perlaksanaan SOP yang baik, consumer confidence (keyakinan pelanggan) akan kembali kepada keadaan sebelum ini, jika tidak lebih baik. Yang penting di sini ialah, tanggungjawab untuk memastikan penyebaran wabak COVID-19 ini terus terkawal.

“Buat masa ini, kadar penerbangan domestik di Malaysia telah mula kembali meningkat berbanding kapasiti sebelum COVID-19,” katanya lagi.