Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR) bakal mewujudkan tujuh bandar besar baharu di sepanjang laluannya di Malaysia selepas selesai pembinaannya yang dijadualkan pada Disember 2026.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, apabila siap sepenuhnya, projek itu bakal menarik pelaburan ke bandar-bandar iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban, Sepang dan Bandar Malaysia, yang menjadi lokasi bagi stesen-stesen kereta api laju itu.

"Tujuh hentian itu bakal mewujudkan tujuh bandar besar baharu pada masa depan yang akan membawa pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan manfaat amat besar kepada rakyat," katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini projek KL-SG HSR, di sini, hari ini.

MyHSR Corp, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan, adalah syarikat yang akan membangunkan dan melaksanakan projek KL-SG HSR bagi bahagian Malaysia.

Mohd Nur Ismal berkata, MyHSR ketika ini sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk rujukan dan ini akan disusuli oleh reka bentuk terperinci oleh rakan kongsi pelaksanan projek (PDP) – usaha sama Malaysian Resources Corporation Bhd-Gamuda Bhd (MRCB-Gamuda) dan usaha sama Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd-TH Properties Sdn Bhd (YTL-TH Properties).

"Kami menjangkakan beberapa kerja-kerja pendahuluan akan bermula akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata pembelian tanah bagi projek itu dijangka diselesaikan dalam separuh kedua tahun ini sebelum kerja-kerja pendahuluan dimulakan.

Usaha sama MRCB-Gamuda dan YTL-TH Properties dilantik sebagai PDP bagi pembinaan kerja-kerja sivil di Malaysia.

Usaha sama MRCB-Gamuda dilantik sebagai PDP bagi kawasan utara terdiri daripada tiga stesen domestik dan satu stesen antarabangsa antara Bandar Malaysia dan Melaka dengan penjajaran 135 kilometer.

Sementara itu, YTL-TH Properties bertanggungjawab bagi bahagian selatan dengan penjajaran sejauh 200km, termasuk dua stesen domestik dan satu stesen antarabangsa antara Melaka dan Iskandar Puteri. -- Bernama