Harga runcit petrol RON95 turun 7 sen manakala RON97 turun 9 sen dan diesel juga turun 9 sen berkuat kuasa 14 hingga 20 Mac ini.

Kementerian Kewangan, menerusi satu kenyataan pada Jumaat, memaklumkan harga runcit RON95 ialah RM1.82 seliter bagi tempoh berkenaan.

Harga runcit RON97 dan diesel bagi tempoh berkenaan masing-masing pula ialah RM2.10 dan RM1.87 seliter.

Kementerian Kewangan berkata ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).




Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, ketidaktentuan harga minyak mentah dunia pada masa ini dipengaruhi oleh ketidaksefahaman pengeluaran antara negara-negara pengeluar minyak utama dunia serta wabak Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi global.

"Sebagai langkah untuk menstabilkan turun naik harga minyak kepada pengguna dan pada masa yang sama untuk mengimbangi ketidaktentuan hasil minyak kepada Kerajaan, harga runcit bagi kedua-dua produk petrol RON95 dan diesel diturunkan masing-masing kepada paras RM1.82 seliter dan RM1.87seliter.

"Di samping itu, Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara terutamanya dalam menangani peningkatan kos sara hidup kesan daripada kenaikan harga," menurut kenyataan itu lagi.