Mulai 15 Nov depan, semua pasar raya besar dan kedai runcit berangkai di seluruh negara perlu menyelaras harga baharu bagi semua jenis barangan mengikut sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan pada 1 Sept lalu.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata kedua-dua perusahaan berkenaan diberi kelonggaran lebih dua bulan kerana terdapat masalah sistem penyelarasan harga yang berbeza.

"Ada kedai, stok lama mereka sudah habis dan ada beberapa kedai lagi masih mempunyai stok lama itu. Persoalan timbul adakah mereka boleh mengenakan harga baharu," katanya dalam sidang media di sini hari ini berhubung penguatkuasaan anti-pencatutan di bawah Operasi Catut 5.0.

"Hypermarket dan kedai runcit berangkai ini mempunyai sistem harga di mana semua barangan mereka di seluruh negara mempamerkan harga yang sama. Mereka ada sistem yang mana harga barang ditetapkan di peringkat ibu pejabat. Jadi, mereka menulis surat kepada kementerian dan kami pun telah melakukan kajian sebelum memberikan kelonggaran ini," tambahnya.

Ditanya mengenai penjualan stok lama kepada pengguna, Mohd Roslan berkata hanya tinggal sedikit barangan stok lama untuk dijual sebelum tempoh penyelarasan harga pada 15 Nov itu berikutan kajian yang dijalankan.

Mohd Roslan turut menerangkan bahawa kadar cukai jualan yang dikenakan adalah tidak sama bagi semua barangan yang terdiri daripada 0 peratus, 5 peratus dan 10 peratus, manakala kadar cukai perkhidmatan adalah 6 peratus.

Berhubung Operasi Catut 5.0, Mohd Roslan berkata pihaknya telah mengeluarkan empat kertas siasatan ke atas empat buah perniagaan yang dikenal pasti gagal mengikut sistem SST.

"Kita menunggu arahan Jabatan Peguam Negara sama ada mereka didakwa atau dikenakan kompaun," katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini (18 Okt), sebanyak 20,259 premis telah diperiksa melibatkan sebanyak 490,328 barangan dalam operasi fasa 2 yang melibatkan pemeriksaan pencatutan ke atas setiap rantaian perniagaan di seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

"Sebanyak 166 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 (2) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi melihat pematuhan peniaga terhadap perundangan, dan 1,826 notis di bawah seksyen 53A AKHAP 2011 telah dikeluarkan untuk peniaga menyenggara dan menyimpan rekod perniagaan," katanya.

Mohd Roslan berkata pihaknya menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan, melalui SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN, aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNKK atau melalui saluran baharu dan popular iaitu aplikasi WhatsApp KPDNHEP di 019-279 4317.