Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab memberi jaminan penggabungan syarikat itu dengan Uber tidak akan memberi kesan terhadap tambang penumpang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

"Kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap Grab jika ia didapati menaikkan tambang berikutan penggabungan Grab-Uber di Asia Tenggara, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy, yang mengadakan pertemuan dengan Grab semalam, berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan tindakan undang-undang di bawah Akta Persaingan 2010 bagi mengekang kedudukan dan pakatan berbentuk monopoli oleh syarikat-syarikat besar untuk memanipulasi harga barang dan perkhidmatan.

Mengenai dakwaan pekerja Uber terjejas teruk dengan penggabungan itu, Nancy berkata beliau dimaklumkan mereka kini tidak bekerja buat sementara waktu bagi memberi peluang kepada Grab untuk mengambil semula mereka bekerja secara rasmi mengikut jawatan yang sesuai.

Menurut beliau, pekerja Uber kini diberikan cuti bergaji dengan kemudahan perubatan untuk tiga bulan akan datang sementara Grab mendapatkan peranan dan tugas baharu untuk mereka.

Uber mempunyai 80 kakitangan di Malaysia.

Semalam, Uber Technologies Inc bersetuju menjual operasinya di Asia Tenggara kepada Grab, dan menarik diri daripada pasaran di rantau yang mempunyai tumbesaran pesat.

Dilaporkan dalam perjanjian itu, Grab akan membeli kesemua operasi Uber di rantau yang mempunyai 620 juta penduduk , termasuk perkhidmtan penghantaran makanan UberEats.

Pada masa ini, Grab menyediakan perkhidmatan di Singapura, Indonesia, Filipina, Malaysia, Thailand, Vietnam , Myanmar dan Kemboja.

--BERNAMA