Inisiatif Astro untuk mempelbagaikan penawaran produknya menerima reaksi positif firma penyelidikan pelaburan.

Terbaru, firma penyelidikan Citi Research dan CGS-CIMB menerbitkan laporan analisa mereka terhadap inisiatif Astro memperkenalkan pakej jalur lebar mampu miliknya, Astro Broadband Bundle.

Perkhidmatan tersebut dilancarkan sempena pelancaran projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin, Melaka pada 9 Januari lalu.

Projek itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan ditawarkan khas kepada kira-kira 1,100 penduduk Jasin.

Perkhidmatan Astro Broadband Bundle dijayakan menerusi kerjasama Astro bersama anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), City Broadband.

Ia menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan 50Mbps beserta Astro Family Pack pada harga RM99 sebulan, dan 100Mbps beserta Astro Family Pack pada harga RM129 sebulan.

“Astro telah melancarkan produk promosi yang menggabungkan jalur lebar dan perkhidmatan televisyen berbayar yang murah dan menarik di Jasin...” menurut laporan Citi Research.

“Inisiatif melancarkan jalur lebar di dalam pasaran yang sudah pun padat dan dikuasai, menunjukkan matlamat untuk menjana lebih banyak pelanggan yang lebih tahan lama menerusi penggabungan perkhidmatan jalur lebar.

“Sebagai contoh, pelan 50Mbps daripada City Broadband (RM79) dan pakej asas Netflix (RM33) akan membabitkan kos RM112 berbanding pakej penggabungan Astro pada RM99,” tambahnya.

Firma itu seterusnya berkata ia mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Astro.

Sementara CGS-CIMB walaupun mengekalkan saranan “Neutral” terhadap Astro, melihat inisiatif ini sebagai inisiatif jangka panjang yang baik.

“Kami melihat perkembangan ini sebagai positif dan jangka panjang buat Astro untuk mengekalkan pelanggan perkhidmatan televisyen berbayarnya dengan lebih lama.

“Astro berupaya menambah satu sumber pendapatan baru dengan menggabungkan penawaran kandungan dan jalur lebar seperti ini,” katanya.