FGV Holdings Bhd (FGV) menjangkakan mencatat prestasi baik pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020 berikutan peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan aliran masuk monetari daripada lapan penjualannya.

"Kami agak yakin untuk suku kedua memandangkan kami akan mula melihat penambahbaikan dalam pengeluaran FFB berikutan prestasi (lebih baik)," menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Mengambil kira pola cuaca di seluruh negara dan pola kitaran pokok kelapa sawit, beliau berkata syarikat turut berharap pengeluaran bagi suku yang berbaki akan dapat membantu FGV mencapai sasarannya.

"Walaupun kita berdepan cabaran pada separuh pertama tahun ini, kami menjangkakan situasi itu akan menjadi lebih baik pada separuh kedua disebabkan oleh pola hujan di Malaysia yang mendorong pertambahan bekalan minyak sawit mentah (MSM).

"Sasarannya ialah 18.4 tan metrik sehektar menjelang akhir tahun, meningkat sedikit berbanding tahun lepas iaitu 17 tan metrik sehektar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai keputusan kewangan syarikat itu bagi suku pertama 2020 di sini, pada Khamis.

Haris Fadzilah berkata FGV memperoleh jualan bagi penghantaran Jun dan Julai dari India selaku pembeli utama MSM, selain menandatangani perjanjian dengan syarikat berpangkalan di India baru-baru ini untuk memperkukuhkan penyertaannya di pasaran produk makanan.

Menurutnya FGV akan terus meraih manfaat daripada realisasi penjualan lapan aset yang tidak mencatatkan prestasi baik di seluruh negara bernilai RM150 juta.

Beliau berkata RM50 juta daripada nilai penjualan berjumlah RM150 juta itu sudah diterima pada akhir tahun lepas.

Mengenai prestasi suku pertama, Haris Fadzilah berkata pengeluaran FFB yang lebih rendah juga adalah daripada pekebun kecil dan pembekal pihak ketiga yang menyumbang 70 peratus daripada rantaian bekalannya.

Beliau berkata bagi tahun kewangan 2020, FGV dijangka menyamai prestasi kewangannya pada 2019 dari segi FFB dan hasil.

"Penentuan harga juga merupakan isu yang kami beri perhatian kerana pada tahun lepas, penentuan harga adalah mencabar, manakala pada tahun ini harga adalah baik, namun menghadapi kekangan pengeluaran dan itulah masalah yang kita hadapi," katanya.

Bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2020 kerugian bersih FGV meningkat kepada RM142.34 juta berbanding kerugian bersih RM3.37 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun hasil merosot kepada RM2.78 bilion daripada RM3.27 bilion pada tempoh sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, FGV memberitahu penyusutan itu adalah disebabkan cuaca kering, impak pandemik COVID-19 terhadap operasi dan penurunan jualan akibat penutupan lima kilang di Sabah.

Mengenai MSM Malaysia Holdings Bhd iaitu unit pengeluar gula FGV, Haris Fadzilah berkata syarikat itu masih mencari rakan strategik.

"Ia (perkongsian strategik) adalah sesuatu yang FGV cari sebagai nilai tambah kepada pemegang saham. Kami mengalu-alukan sebarang cadangan dalam hal ini," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata walaupun usaha itu diredakan seketika berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di tengah-tengah penularan COVID-19, masih ada satu pihak yang berminat dengan perkongsian itu.

"Namun, sebelum mereka mengambil keputusan itu, mereka berusaha mengimport jumlah perdagangan MSM untuk mewujudkan pasaran," katanya.

-- BERNAMA