Elon Musk telah menerima arahan Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran (SEC) Amerika Syarikat untuk meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi di Tesla.

Ia susulan dakwaan yang difailkan ke atasnya awal minggu lalu berhubung percubaannya untuk menswastakan Tesla.

Dalam kenyataan SEC, Musk perlu meletak jawatan dalam tempoh 45 hari dan tidak dibenarkan untuk menjawat jawatan berkenaan semula dalam tempoh tiga tahun.

Namun, beliau dibenarkan untuk kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tesla.

Musk menerima 'arahan' tersebut tanpa menafi atau mengakui tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tesla telah bersetuju untuk membayar AS$20 juta sebagai tuntutan ke atas dakwaan yang difailkan berkenaan.

Tesla pada masa sama bersetuju untuk melantik dua pengarah bebas baru untuk senarai ahli lembaga pengarahnya serta menubuhkan jawatankuasa lembaga untuk mengawasi komunikasi Musk.

Pengumuman oleh SEC dibuat selepas satu saman difailkan ke atas Musk yang didakwa mengelirukan pelaburnya.

Ia diakibatkan oleh kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter beliau pada 8 Ogos lalu yang mengatakan beliau telah memperoleh pembiayaan untuk menswastakan Tesla dengan nilai AS$420 sesaham yang mengakibatkan lonjakan besar kepada pasaran saham syarikat berkenaan.