Ekonomi Malaysia tumbuh 4.4 peratus pada Suku Ketiga 2019 berbanding 4.9 peratus pada suku sebelumnya.

Namun angka itu adalah sama seperti dicatatkan Suku Ketiga 2018.

Menurut Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, prestasi itu berikutan pertumbuhan sektor utama yang lebih rendah serta penurunan aktiviti perlombongan dan pembinaan.

Selain itu, permintaan dalam negeri dan eksport bersih turut merekodkan momentum pertumbuhan lebih perlahan pada suku ketiga.

Bank Pusat itu berkata ekonomi Malaysia tumbuh 4.6 peratus bagi tempoh 9 bulan pertama tahun ini dan angka itu dijangka kekal sehingga 2020.

Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta, khususnya perbelanjaan isi rumah yang disokong pula oleh pertumbuhan yang berterusan dari segi guna tenaga dan pendapatan.

Selain itu, purata inflasi keseluruhan bagi suku berkenaan lebih tinggi pada 1.5 peratus susulan tamatnya kesan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Tambah Bank Negara, purata inflasi bagi 2020 dijangka lebih tinggi berbanding tahun ini namun kekal sederhana.

Ia akan disumbang antaranya pemansuhan harga siling bahan api dalam keadaan prospek harga minyak dunia yang secara relatifnya lemah dan langkah-langkah dasar yang sedia ada untuk membendung harga makanan.

Inflasi asas dijangka kekal stabil, disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar.

Bank Negara berkata ringgit turut menyusut 1.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat bagi suku berkenaan susulan kegiatan menghindar risiko yang kian ketara dalam pasaran kewangan global.

Tindakan itu susulan persekitaran perdagangan yang semakin tegang dan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global.

Sejak awal 2019, ringgit menyusut 0.5 peratus berbanding matawang dolar namun kembali menambah nilai bermula Oktober sebanyak 0.7 peratus susulan aliran masuk tunai ke dalam pasaran bon domestik.

Bank Negara berkata ketidaktentuan luaran dijangka terus mempengaruhi pergerakan mata wang serantau termasuk ringgit.