JEPUN kekal menjadi pelabur terbesar dalam projek-projek infrastruktur di Asia Tenggara, dengan nilai projek-projeknya 150 peratus lebih tinggi daripada China, pesaing terbesarnya.

Projek-projek pelaburan Jepun di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam mempunyai nilai AS$367 bilion (RM1.52 trilion) manakala projek-projek China pula bernilai AS$255 bilion (RM1.05 trilion).

Sebahagian besar daripada nilai tersebut merupakan nilai pelaburan Jepun di Vietnam, dengan jumlah sebanyak AS$208 bilion (RM861 bilion).

Ini termasuklah pembinaan sebuah landasan keretapi berkelajuan tinggi antara Hanoi dan Bandaraya Ho Chi Minh yang bernilai AS$58 bilion (RM240 bilion).

Manakala di Malaysia pula, China mendahului Jepun dengan pelaburan sebanyak AS$34 bilion (RM140 bilion) berbanding AS$4 bilion (RM16 bilion).

Jumlah ini menunjukkan bahawa Jepun lebih dominan dalam pasaran infrastruktur di Asia Tenggara yang sedang pesat membangun.

Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB), sektor infrastruktur negara-negara Asia Tenggara memerlukan pelaburan sebanyak AS$210 bilion setahun dari tahun 2016 hingga 2030 agar ekonominya kekal membangun.