China dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk menangguhkan penambahan tarif eksport dua hala selepas pemimpin kedua-dua negara bertemu di Sidang Kemuncak G20 di Argentina.

Menurut laporan Reuters, penangguhan itu bagi membolehkan rundingan 90 hari berhubung dagangan dua hala dimulakan untuk mencari penyelesaian terbaik buat kedua-dua negara.

Sekiranya rundingan dagangan gagal, tarif baharu akan dinaikkan dari 10 peratus kini, kepada 25 peratus.

Tarif baharu AS terhadap China melibatkan barangan bernilai AS$200 bilion manakala China pula bersetuju untuk memulakan pembelian besar-besaran barangan AS sejurus selepas penangguhan itu bermula.

Selain itu, China turut bersetuju untuk meluluskan perjanjian pengambilalihan NXP Semiconductors oleh gergasi terknologi AS, Qualcomm Inc, jika kertas cadangan dibentangkan kembali.

Qualcomm menjadi kes pengambilalihan berprofil tinggi yang menjadi mangsa ketegangan hubungan Sino-AS melibatkan nilai AS$44 bilion, selepas negara tembok besar itu menolak permohonan pengambilalihan tersebut.

Perjanjian dagangan yang akan dirundingkan kedua-dua negara akan melibatkan isu seperti perpindahan teknologi, harta intelek, halangan bukan tarif, kecurian siber dan pertanian.

Presiden Donald Trump sebelum ini melaksanakan tarif import 10 peratus terhadap barangan China pada September sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan negara dunia.

Ia mengundang tindak balas China yang turut melaksanakan tarif import terhadap barangan AS bernilai AS$267 bilion.