Orang ramai yang menggunakan kemudahan 'park and ride' di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang baharu akan dikenakan bayaran RM4 sekali masuk mulai Isnin ini.

Prasarana Malaysia Bhd dalam kenyataan pada Jumaat berkata bayaran itu akan dikenakan di stesen Ara Damansara, Glenmarie, USJ21, Alam Megah, Subang Alam dan Putra Heights.

"Namun kemudahan letak motosikal dan basikal di stesen tersebut kekal percuma.

"Tempat letak kereta percuma ditawarkan sejak 30 Jun sebagai inisiatif Rapid KL mempromosikan perkhidmatan LRT kepada pengguna terutama dalam kalangan penduduk.

"Promosi ini akan berakhir pada 14 Ogos," kata Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan, Lim Jin Aun.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan untuk kemudahan park and ride itu.

"Jangan letak kereta di tepi dan bahu jalan. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan hanya menjejaskan kelancaran trafik tetapi berdepan risiko disaman atau kereta ditunda pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya semua stesen itu juga mempunyai perkhidmatan bas pengantara yang baik sebagai alternatif kepada pengguna untuk ke stesen berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai bas pengantara itu boleh diperoleh di laman sesawang rasmi Rapid KL www.myrapid.com.my.