Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan minggu lepas untuk dibuka tinggi pagi ini berikutan aktiviti belian dalam saham wajaran tinggi terpilih disebabkan harga yang rendah sedikit, kata para peniaga.

Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.04 mata kepada 1,563.78 daripada paras penutup 1,561.74 pada Jumaat minggu lepas.

Pada pembukaan, indeks utama itu naik 0.81 mata kepada 1,562.55.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 177 berbanding 161, manakala 223 kaunter tidak berubah, 1,394 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 242.14 juta saham bernilai RM77.46 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata walaupun prospek pasaran segera telah menjadi suram, masih terdapat harapan pemulihan sederhana selepas penurunan mendadak pada Jumaat.

Firma penyelidikan itu berkata aktiviti membeli saham berharga rendah boleh muncul semula, bukan sahaja untuk menghentikan penurunan tetapi juga membolehkan indeks utama mencari sokongan pada sekitar paras1,560.

"Bagaimanapun, kami juga merasakan sebarang peningkatan dalam tempoh terdekat ini akan dihadkan oleh keadaan pasaran yang secara umumnya lemah kerana ekuiti Malaysia masih tidak mempunyai pemangkin ketara yang dibayangi oleh pendapatan korporat dan prospek pertumbuhan ekonomi kurang memberangsangkan pada 2020.

"Jika paras 1,560 mata gagal dicapai, sokongan bergerak balik ke paras psikologi 1,550 mata manakala paras ketahanan masing-masing berada pada 1,570 mata dan 1,580 mata," kata firma itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.54, Petronas Chemicals meningkat enam sen kepada RM7.12, Public Bank dan CIMB menokok dua sen setiap satu masing-masing kepada RM19.64 dan RM5.20, manakala TNB susut 14 sen kepada RM13.02.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy dan M N C susut setengah sen setiap satu masing-masing kepada 27 sen dan dua sen manakala XOX, D.B.E Gurney dan Yong Tai naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 4.5 sen, tiga sen dan 21 sen.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 12.38 mata kepada 11,604.88, Indeks FBM Emas naik 13.64 mata kepada 11,106.49, FBM 70 menokok 12.04 mata kepada 13,889.92, Indeks FBMT 100 menambah 13.13 mata kepada 10,922.43 dan FBM Ace melonjak 21.69 mata kepada 4,775.99.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 0.66 mata kepada 7,066.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.25 mata kepada 15,356.87 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.50 mata kepada 150.41.

-- BERNAMA