KUALA LUMPUR:Saham di Bursa Malaysia diniagakan tinggi hari ini dipengaruhi oleh berita cadangan pakej rangsangan baharu oleh Amerika Syarikat (AS) yang bernilai kira-kira AS$2.4 trilion, serta keuntungan perindustrian China yang bertambah baik.

Di dalam negara, pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya negeri Sabah pada Sabtu menewaskan Warisan Plus.

Gabungan itu disokong oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.52 mata untuk ditutup kepada 1,511.66 berbanding 1,509.14 pada Jumaat.

Indeks utama itu dibuka naik 1.12 mata kepada 1,510.05 dan bergerak antara paras 1,507.35 dan 1,519.05 sepanjang hari dagangan.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 569 berbanding 458, manakala 395 kaunter tidak berubah, 679 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 5.17 bilion saham bernilai RM3.51 bilion daripada 5.17 bilion saham bernilai RM3.96 bilion.

Seorang penganalisis berkata cadangan pakej rangsangan baharu oleh AS itu dan peningkatan keuntungan perindustrian China merangsang pasaran ekuiti walaupun bagi tempoh jangka panjang, pelabur masih berhati-hati susulan lonjakan kes baharu COVID-19.

Cadangan pakej rangsangan baharu AS itu antara lainnya bertujuan untuk melindungi pembiayaan pinjaman perniagaan kecil dan merancakkan industri penerbangan.

"Pada masa ini, momentum pasaran agak baik dan sentimen mendapat sokongan daripada cadangan pakej rangsangan baharu AS untuk menggiatkan ekonominya dan peningkatan keuntungan perindustrian China yang mencatatkan kenaikan bagi empat bulan berturut-turut.

"Bagaimanapun, trend pasaran positif dalam pasaran ekuiti tempatan pada hari ini juga sebahagiannya disumbang oleh keputusan pilihan raya di Sabah apabila keyakinan politik meningkat dalam pasaran," kata seorang penganalisis.

Dalam pilihan raya negeri ke-16, GRS memenangi 38 kerusi, Warisan Plus 32 kerusi dan tiga kerusi dimenangi oleh calon bebas.

Ketua Perikatan Nasional Sabah Datuk Seri Hajiji Noor akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu Sabah.

Pada penutup, saham wajaran tinggi Maybank naik dua sen kepada RM7.10, Hartalega meningkat 42 sen kepada RM17.42 tetapi Top Glove turun tiga sen kepada RM8.77 dan Tenaga susut empat sen kepada RM10.84 berikutan aktiviti pengambilan untung.

Dalam kalangan kaunter cergas, kedua-dua XOX dan Metronic Global naik setengah sen masing-masing kepada 17.5 sen dan 8.5 sen, manakala Vsolar tidak berubah pada empat sen dan Advance Synergy turun 2.5 sen kepada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 46.48 mata kepada 10,887.92 manakala Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 82.63 mata kepada 13,045.05.

FBM 70 naik 152.31 mata kepada 14,202.60, Indeks FBMT100 meningkat 42.47 mata kepada 10,710.98 dan FBM ACE menokok 26.63 mata kepada 10,053.85.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.16 mata kepada 12,327.46, Indeks Perladangan meningkat 8.46 mata kepada 7,063.58 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.98 mata kepada 135.77.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.74 bilion saham bernilai RM2.71 bilion daripada 2.63 bilion saham bernilai RM2.86 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 511.26 juta unit bernilai RM145.67 juta berbanding 676.65 juta unit bernilai RM208.71 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.91 bilion saham bernilai RM652.28 juta berbanding 1.86 bilion saham bernilai RM886.54 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 826.67 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (892.38 juta), pembinaan (114.34 juta), teknologi (247.49 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (42.80 juta), hartanah (156.22 juta), perladangan (68.99 juta), REITs (4.78 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (201.01 juta), penjagaan kesihatan (115.50 juta), telekomunikasi dan media (20.82 juta), pengangkutan dan logistik (29.13 juta) dan utiliti (26.09 juta).

-- BERNAMA