Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menjalin kerjasama strategik dengan Kumpulan SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam usaha membantu Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS).

Menerusi kolaborasi tersebut, sebanyak RM500 juta geran padanan disediakan, yang mana ia bakal memanfaatkan 100,000 PKS setiap tahun bagi tempoh lima tahun.

Pengerusi BSN, Rossana Annizah Rashidi berkata, BSN dilantik sebagai peneraju utama bagi menyalurkan geran padanan daripada Kementerian Kewangan dalam meningkatkan aplikasi digital dalam kalangan PKS.

“Kerjasama ini juga akan melihat semua pihak yang terlibat memberikan sokongan dari segi kewangan serta khidmat nasihat kepada usahawan PKS mengenai topik digitalisasi.

“Harapan kami agar pemeteraian kolaborasi ini mencapai matlamat dan hasrat kerajaan untuk melahirkan PKS yang lebih berdaya saing, dinamik dan proaktif,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis kolaborasi tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Komunikasi dan Multimedia; Gobind Singh Deo; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Aria Putera Ismail.

Geran padanan tersebut terhad kepada satu permohonan bagi setiap PKS, dan mereka dibenarkan memohon sehingga tiga jenis perkhidmatan pendigitalan dengan pembekal perkhidmatan yang berdaftar dengan MDEC.

Perkhidmatan pendigitalan tersebut termasuk Sistem Electronic Points of Sale (e-Pos); dan Sistem Penggajian Sumber Manusia.

Usahawan PKS yang berminat perlu melantik Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSP) di bawah penyeliaan MDEC.

Permohonan boleh dihantar kepada MDEC selewat-lewatnya 31 Mac ini.