Pengerusi UDa Holdings Bhd Datuk Nur Jazlan Mohamed dilihat bersetuju bersatu tenaga dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, untuk menguasai Patimas Computers Bhd.

"Saya mempunyai keyakinan mengenai projek itu (berkaitan penguasaan Patimas)," katanya semasa dihubungi.

Adalah dilaporkan semalam bahawa Abdul Azim berhasrat meraih kepakaran sesetengah rakannya di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu menstrukturkan semula Patimas.

"Saya sudah berunding dengan Nur Jazlan bagi menyertainya di dalam Patimas dan membantu saya menstrukturkan semula syarikat itu," kata Abdul Azim, yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimana pun, Nur Jazlan enggan mengulas mengenai sama ada cadangan untuk menguasai Patimas akan turut melibatkan UDA Holdings.

"Saya tiada ulasan," katanya.

UDA Holdings Bhd adalah satu GLC yang terkenal dengan peranannya di dalam pembangunan bandar.
Nur Jazlan berkata Abdul Azim akan memberikan butiran di dalam tempoh beberapa minggu apabila diminta penjelasan mengenai usaha menguasai Patimas.

Abdul Azim dilaporkan berkata beliau bersedia menguasai syarikat yang mengalami masalah kewangan itu yang perlu diselamatkan atau berhadapan dinyah senarai dari Bursa Malaysia.

Ahli perniagaan itu kini mempunyai kepentingan 7.0 peratus di dalam Patimas manakala China Private Equity Investment Holdings Ltd, pada minggu lepas, telah membeli kepentingan 5.0 peratus di dalam syarikat perkhidmatan pengkomputeran itu.

Pada 17 Januari, Abdul Azim berkata beliau sedang berunding untuk membawa masuk rakan-rakan strategik asing bagi membantu mengaktifkan semula syarikat PN17 itu.

Patimas dan anak-anak syarikatnya, secara prinsipnya, terlibat di dalam penyediaan penyelesaian dan produk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).