Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk projek MyBeautiful New Home khusus bagi kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Ia merupakan antara pelbagai program dan inisiatif yang diperuntukkan dalam Bajet 2017, bagi membela golongan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai permulaan 5,000 unit rumah berharga antara RM40,000 hingga RM50,000 akan dibina.

“"Rumah ini akan dibina di tanah milik sendiri dan tanah yang telah mendapat kebenaran tuan tanah dan tanah kurniaan kerajaan negeri," kata beliau ketika membentangkan Bajet 2017 di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, kerajaan turut akan membiayai RM20,000 daripada kos rumah berkenaan, manakala bakinya akan dibayar secara ansuran oleh pemilik.

Sebanyak 9850 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan peruntukan RM134 juta pula akan dibina Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi 2017.

Selain itu, sebanyak 11,250 unit rumah PPR sedang dalam pembinaan dengan peruntukan RM576 juta disediakan.