Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) merangkul dua anugerah di majlis Anugerah Persatuan Hubungan Pelabur Malaysia (MIRA) 2019 pada Rabu.

Bagi anugerah pertama, Astro dinobatkan sebagai Syarikat Hubungan Pelabur Terbaik (Modal Bersaiz Sederhana).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan Poh Hock menerima anugerah tersebut daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengerusi MIRA, Steven Tan Chek Chye pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby pada Rabu.


Henry Tan (kanan) menerima anugerah Syarikat Terbaik Malaysia Bagi Hubungan Pelabur dalam kategori syarikat bermodal sederhana daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan juga Pengerusi MIRA, Steven Tan Chek Chye. - Astro

Turut hadir pada majllis tersebut ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

Sementara itu bagi anugerah kedua, Astro turut diumumkan pemenang dalam kategori Penambahbaikan Perkhidmatan Hubungan Pelabur Terbaik.

Anugerah tersebut diterima oleh Ketua Hubungan Pelabur Luar Astro, Nur Azreen Abdul Manap.


Ketua Hubungan Pelabur Luar Astro, Nur Azreen Abdul Manap (kiri) menerima Penambahbaikan Perkhidmatan Hubungan Pelabur Terbaik daripada Pengerusi MIRA, Steven Tan Chek Chye. - Astro


Dianjurkan oleh MIRA, sebanyak 25 anugerah diberikan pada tahun ini dan dihadiri lebih 400 profesional yang terbabit dalam bidang perniagaan.

Anugerah MIRA diwujudkan bagi menggalakkan tadbir urus yang baik, menggalakkan amalan ketelusan yang tinggi serta pendedahan yang saksama bagi mencapai penilaian adil untuk semua syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia.