Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) mencatatkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) kepada RM176 juta bagi suku pertama tahun kewangan yang berakhir 31 Januari 2020 (Q1FY20).

Dalam satu kenyataan media hari ini, Astro berkata ia turut mencatatkan Aliran Tunai Bebas (FCF) yang kukuh, iaitu sebanyak RM252 juta, sekali gus membolehkan pembayaran dividen sebanyak 2.0 sen sesaham.

Turut membanggakan ialah kejayaan Astro meningkatkan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) bagi TV berbayar, iaitu sebanyak 80 sen, sekali gus mencatatkan pendapatan sebanyak RM100.4.

Untuk tempoh yang sama, perbelanjaan pengiklanan digital (digital ADEX) telah meningkat sebanyak 13 peratus kepada RM9 juta dan pendapatan dagangan kekal stabil pada RM84 juta.

Pengerusi Astro, Tun Zaki Azmi berkata dalam suasana landskap media yang amat mencabar, Astro terus berjaya dalam menjana pendapatan, memastikan displin dalam soal kos, serta proaktif dalam pengurusan kapital.

“Lembaga dengan sukacita mengumumkan dividen interim yang pertama iaitu sebanyak 2.0 sen per saham,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Henry Tan berkata dalam keadaan pasaran mencabar, Astro terus berjaya menghasilkan pertumbuhan PATAMI, hasil usaha berterusan dalam mengoptimumkan kos kandungan, serta perbelanjaan operasi.

“Kami akan terus menghiburkan dan melibatkan diri dengan 5.7 juta isi rumah serta 27 juta individu melalui kandungan premium dan vernakular kami, termasuk acara sukan terbesar dunia melalui TV berbayar dan platform NJOI,” katanya lagi.

Dalam tempoh kewangan yang sama, Astro telah menjalinkan kerjasama eksklusif dengan pemain OTT global termasuk iQIYI dan HBO Asia untuk HBO GO.

Melalui kerjasama ini, pelanggan mempunyai akses percuma kepada HBO GO, yang mengandungi kandungan sebanyak 3,000 jam.