Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan bahawa syarikat petroleum Arab Saudi, Aramco bersetuju untuk melaburkan AS$7 bilion bersamaan lebih RM30 bilion ke Malaysia sebelum 31 Mac ini.

Jelas beliau, ia sekali gus akan melonjakkan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia.

“Pagi tadi saya dapat pesanan ringkas dari Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), saya hantar dia ke Riyadh untuk tutup perbincangan dengan Aramco.

“Ini berita yang saya tidak beritahu sesiapa lagi melainkan jemaah menteri, bahawa Aramco bersetuju untuk melaburkan AS$7 bilion sebelum 31 Mac ini yang akan dimasukkan ke dalam akaun negara,” maklumnya ketika menyampaikan amanat dalam majlis penyerahan Kanvas Belia TN50 di sini pada Rabu.

Jelas beliau lanjut, usaha kerajaan menarik pelaburan asing masuk ke negara ini tidak lain adalah bagi menyediakan asas kukuh untuk generasi TN50 manfaatkan kepada usaha membawa negara ke tahap yang lebih hebat kelak.