Tan Sri Annuar Musa dilantik semula sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuatkuasa hari ini selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu diumumkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut mengumumkan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), berkuatkuasa 1 Sept ini.

"Saya percaya pelantikan Tan Sri Annuar dan Datuk Zahidi akan dapat memimpin MARA dan RISDA dalam melaksanakan dasar dan perancangan kementerian demi mencapai objektif transformasi negara," katanya dalam satu kenyataan.

Kontrak Annuar, 59, yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh, tamat 17 Julai lalu selepas menjawat jawatan itu selama dua tahun bermula 19 Julai 2013.

Beliau sebelum itu menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pengajian Tinggi.

Zahidi, 54, yang merupakan Ahli Parlimen Padang Besar sejak 2013, memiliki Ijazah Sarjana Sains Politik dari Irish International University, Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Northern California Global University dan Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan semulanya itu, Annuar menganggap ia sebagai tanggungjawab besar dan berjanji akan menguruskannya dengan baik.

"Pagi ini saya hadir di Pejabat Perdana Menteri dan menerima surat pelantikan semula sebagai Pengerusi MARA.

"Saya menganggap ini satu amanah besar dan akan memastikan MARA diurus secara penuh berintegriti serta memenuhi amanah rakyat.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Perdana Menteri," katanya menerusi entri terbarunya di Facebook.