Anak syarikat AirAsia Bhd (AAB), PT AirAsia Indonesia Tbk (AAID), telah menyelesaikan pengambilalihan kepentingan sebanyak 57.25 peratus dalam PT Indonesia AirAsia (IAA).

AirAsia, dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata sebagai sebahagian daripada transaksi berkenaan, AAID telah menyelesaikan terbitan hak termasuk penjualan perniagaan pengangkutan dan arang batunya.

"Keuntungan tunai bersih sebanyak 26 bilion rupiah (100 rupiah = 0.03 sen) daripada terbitan hak dan penjualan itu akan digunakan sebagai modal kerja AAID," katanya.

Katanya, anak syarikat milik penuh AAB, AirAsia Investment Ltd (AAIL), akan terus mengekalkan pegangan saham langsung 20.95 peratus dalam IAA serta bagi mematuhi pemindahan Sekuriti Kekal IAA yang berjumlah 1.27 trilion rupiah kepada AAID, ia telah memperoleh sebanyak 47.71 peratus pegangan saham dalam AAID yang tersenarai.

Berdasarkan harga dagangan terakhir hari ini iaitu sebanyak 240 rupiah, nilai pelaburan sebut harga AAIL dalam AAID adalah sebanyak 1.22 trilion rupiah (bersamaan RM367.1 juta).

"Objektif langkah korporat ini bertujuan menyediakan IAA akses kepada ekuiti dalam pasaran modal, meningkatkan keterlihatan serta profil, dan juga bagi mendapat manfaat daripada piawaian tadbir urus korporat yang lebih tinggi sebagai sebahagian daripada sebuah entiti tersenarai Bursa Saham Indonesia," katanya. -- Bernama