Kumpulan AmBank (AmBank) kekal komited membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS), menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir.

"Sepanjang sejarah kami, Kumpulan AmBank telah membantu ribuan peniaga IKS. Kini, di ambang Malaysia Baharu, AmBank ingin menegaskan bahawa kami akan teruskan komitmen kami dalam membantu peniaga IKS untuk merealisasikan objektif mereka dengan lebih baik," kata Sulaiman di program "Bicara Pasca-Belanjawan 2019" yang dianjurkan oleh Kumpulan AmBank.

Turut berucap adalah Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim.

Tan Sri Azman menyarankan agar semua yang terlibat di dalam bidang perniagaan, untuk memberikan yang terbaik kepada negara.

"Malaysia telah bersuara, dan memilih kerajaan ini. Bagi semua warga perniagaan dan juga perbankan, saya menggesa agar semua terlibat untuk memberikan hanya yang terbaik kepada pembangunan negara," ujar Tan Sri Azman.

Persidangan ini bertemakan 'Menjalani Perniagaan di Ambang Malaysia Baharu" dan menyaksikan sebanyak 436 syarikat IKS hadir. Sebanyak 222 syarikat besar dan berkaitan-kerajaan turut datang untuk meraikan majlis ini lagi.

Kumpulan AmBank adalah bank kelima terbesar di negara, berdasarkan saiz aset, dan memberikan perkhidmatan menyeluruh dari perbankan runcit, hingga ke perbankan pelaburan.