Syarikat insurans ternama dunia, Allianz telah mengambil langkah menceburi revolusi ekonomi digital bagi menghadapi saingan dan perubahan pasaran masa kini.

Malah, menurut Ketua Pegawai Digital Allianz APAC, Robin Loh, syarikat yang berpangkalan di Jerman itu turut menerajui perubahan digital untuk kumpulan itu di Asia.

Sempena Hari Digital Allianz APAC yang diadakan November lalu, syarikat itu telah mendedahkan strategi digital segitiganya, iaitu perkongsian digital, sains data, dan Allianz sebagai Perkhidmatan (Allianz-as-a-Service).

Katanya, strategi itu membolehkan mereka untuk lebih memahami pelanggan, untuk memahani sama ada mereka memberikan khidmat perlindungan yang betul dengan harga yang berpatutan.

"Ketiga-tiga strategi itu juga melibatkan jalinan kerjasama digital. Dan pada masa kini, semua lapisan perniagaan mengalami 'gangguan' digital'.

Strategi segitiga yang diumumkan Allianz.

"Untuk berjaya dalam ekonomi digital, syarikat perlu pergi ke mana pelanggan pergi," kata Loh.

"Sama ada platform perkongsian perjalanan, sama ada platform e-dagang, hipotesisnya sangat mudah - jika anda mengeluarkan wang untuk membeli produk, atau perkhidmatan dalam talian, anda akan memerlukan perlindungan untuk diri sendiri apabila anda menggunakan perkhidmatan tersebut," katanya.

Allianz-as-a-Service menawarkan produk dan perkhidmatan melalui API terbuka (antara muka pengaturcaraan aplikasi) untuk memanfaatkan banyak teknologi, antaranya Internet of Things (IoT) atau blockchain.