Gergasi perniagaan atas talian Alibaba Group bakal membuka cawangan luar negara mereka di Kuala Lumpur sekaligus menandakan komitmen besar syarikat itu di Malaysia.

Kata syarikat itu dalam satu kenyataan, "Ia mengukuhkan lagi langkah berterusan Alibaba untuk membantu membangunkan kapasiti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia serta usahawan muda dalam mendapatkan akses pasaran baharu dan mengambil peluang tergadap inovasi digital."

Tambah Alibaba, pejabat baharu itu akan bertindak sebagai penghubung kepada rakan niaga sedia ada dan membantu jenama Malaysia, peruncit, ahli perniagaan mahupun rakan kongsi kerajaan mendapatkan akses dan peluang yang ditawarkan China serta dunia dalam bidang e-dagang.

Pejabat itu bakal dirasmikan Isnin depan di Jalan Kerinchi, Bangsar South, di ibu negara.

Setakat Januari 2018, nilai pasaran Alibaba mencecah AS$536 bilion, menjadikan ia 10 syarikat paling bernilai dan terbesar di dunia.

Alibaba turut merekodkan Pendapatan bersih AS$10 bilion setakat awal tahun ini.