Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia komited meneruskan usaha mempromosi pelancongan lestari di rantau ASEAN.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, kempen tentang kelebihan serta impak pelancongan lestari harus ditingkatkan kepada semua 650 juta penduduk ASEAN.

AirAsia katanya mengambil inisiatif tersebut dengan melancarkan rekaan corak luaran terbaharu pesawat bertemakan ‘ASEAN lestari’ bersempena sambutan ulang tahun kerjasama itu untuk ke-52.

“Kami berharap rekaan pesawat istimewa ini dapat menarik perhatian orang ramai dan memulakan perbualan mengenai kelebihan dan impak pelancongan lestari kepada lebih daripada 650 juta penduduk di ASEAN,” kata Tony ketika majlis pelancaran rekaan tersebut di Bangkok, Thailand hari ini.

Pesawat tersebut akan terbang ke lebih 50 destinasi di sekitar ASEAN dari Kuala Lumpur sebelum melancarkan rekaan pesawat yang sama pada pesawat Airbus A320 yang akan berpangkalan di Bangkok pada tahun ini.

Selain logo Pengerusi ASEAN, rekaan istimewa pada badan pesawat A330 itu turut memaparkan ikon-ikon pelancongan ASEAN

Tambahnya antara usaha lestari AirAsia termasuk mendidik para tetamu mengenai pelancongan lestari, mengumpul dan memisahkan barang-barang kitar semula, mengurangkan kesan karbon dan sisa, membangunkan inisiatif pelancongan berasaskan komuniti seperti JourneyD, dan menggalakkan inisiatif perusahaan sosial di seluruh ASEAN melalui Yayasan AirAsia.

“Amat penting untuk kita mempromosi maksud sebenar pelancongan lestari. Sebagai contoh, kita didik penumpang untuk jaga keindahan alam yang mereka lawati, nilai sejarah dan bermacam lagi,” tambahnya.

Tony pada masa sama menegaskan AirAsia terus memperjuangkan integrasi ASEAN melalui sokongan berterusan dalam Dasar Langit Terbuka ASEAN atau pasaran penerbangan tunggal.

Dasar ini bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan domestik, selain meningkatkan peluang perniagaan di rantau ASEAN melalui pembukaan perjalanan udara di bawah pasaran pengangkutan udara tunggal.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Kementerian Luar Negeri Encik Vijavat Isarabhakdi, dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN, Kementerian Luar Negeri Thailand Dr. Suriya Chindawonogse, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes.