Kos keseluruhan aktiviti kerajaan yang diaudit mengikut prestasi berjumlah RM35.893 bilion membabitkan Kategori Pembinaan berjumlah RM16.488 bilion, Kategori Pengurusan Dana berjumlah RM10.922 bilion dan 10 program dan aktiviti berjumlah RM8.43 bilion.

Taklimat Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2018 Siri II di Parlimen hari ini memaklumkan bahawa terdapat enam kes membabitkan 'Improper Payment' berjumlah RM344.54 juta, empat kes membabitkan ketirisan berjumlah RM286.39 juta dan lima kes membabitkan pembaziran berjumlah RM411.01 juta.

'Improper Payment' membabitkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA iaitu Skim Subsidi dan Insentif Pesawah berjumlah RM195.81 juta dan Program Integrasi Lembu berjumlah RM718,360.

Ia juga membabitkan program promosi meningkatkan Pelancong Antarabangsa di bawah Kementerian Pelancongan berjumlah RM136.67 juta; Program Skim MyHome di bawah KPKT berjumlah RM1.74 juta dan Program Permata Insan di bawah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjumlah RM40 ribu.

Bagi ketirisan pula adalah bagi skim subsidi dan Insentif Pesawah berjumlah RM279.73 juta di bawah MOA, Temasya Kuala Lumpur 2017 berjumlah RM6.57 juta di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan RM90 ribu di bawah Program PERMATA Insan di bawah USIM.


Bagi kategori Pembaziran pula, PAC Parlimen di maklumkan bahawa RM215.65 juta untuk Dana Mudahcara di bawah MOF; RM14.11 juta untuk Sekolah Antarabangsa Labuan di bawah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan RM3.43 juta untuk Skim Pinjaman Buku Teks di bawah KPM.

Sejumlah RM177.32 juta untuk Perumahan Generasi Baharu Felda di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan RM500 ribu untuk Program Integrasi Lembu di bawah MOA.

Jabatan Audit Negara turut menjalankan pengauditan terhadap Dana Mudah Cara di bawah MOF/UKAS berjumlah RM10.922 bilion termasuk Universiti Perdana berjumlah RM191 juta, Geothermal Power Plant di
Tawau, sabah berjumlah RM24.65 juta.

Turut diaudit daripada segi prestasi adalah MEA membabitkan Projek Perumahan Generasi Baru Felda. PAC dimaklumkan daripada sasaran pembinaan 20 ribu unit untuk tempoh lima tahun daripada 2013 – 2017 hanya 8314 rumah dilaksanakan iaitu 1498 rumah siap dibina, 3566 rumah dalam pembinaan, 2820 ditamatkan kontrak pembinaan, 400 rumah digantung kontrak pembinaan manakala 1038 rumah dibatalkan kontrak pembinaan.

Daripada segi Tadbir Urus pula, PAC Parlimen dimaklumkan bahawa satu analisis dibuat terhadap kewangan dan pemantauan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala 7 kajian tadbir urus dilakukan terhadap Panorama Langkawi Sdn. Bhd., Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. KTMB, IJN Sdn. Bhd. Permodalan Risda Bhd., Clinical Researh Malaysia dan International University of Malay-Wales Sdn. Bhd.

PAC Parlimen turut dimaklumkan bahawa enam syarikat mempunyai tadbir urus korporat memuaskan iaitu Panorama Langkawi, Pusrawi, KTMB, IJN, Permodalan Risda dan Clinical Research Malaysia manakalaInternational University of Malaya-Wales, kurang memuaskan.

Daripada segi kedudukan kewangan pula tiga syarikat iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Permodalan Risda dan International University of Malaya Wales didapati kurang stabil manakala Pusrawi dan Institut Jantung Negara (IJN) dilaporkan kukuh.

Syarikat Panorama Langkawi dan Clinical Research Malaysia turut dilaporka stabil.

Daripada sudut kewangan pula, PAC Parlimen dimaklumkan bahawa lapan agensi menerima Pendapat Audit Berteguran daripada Ketua Audit Negara iaitu PERKESO, Perbadanan Aset Keretapi, Institut Sukan Negara, Akademi Sains Malaysia, Lembaga Pelabuhan Kemaman, Lembaga Pelabuhan Kuantan, WAKAF
Hindu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Enam agensi menerima Pendapat Audit Tanpa Teguran dengan Emphasis of Matter (EOM) iaitu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Universiti Malaya, Perbadanan Labuan, Perbadanan Padang Golf Subang dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah.

Jawatankuasa PAC telah mengadakan 29 prosiding, 12 mesyuarat penyediaan laporan, 12 mesyuarat verifikasi, 15 taklimat dan membentangkan 9 laporan PAC di Dewan Rakyat.