Seramai 10,000 pelajar di institusi pengajian tinggi telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketua Unit Keusahawanan dan Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datin Dr Syahira Hamidon berkata pelajar terbabit merupakan mereka yang memulakan perniagaan sendiri melalui pelbagai program keusahawanan di institusi masing-masing.

"Kebanyakan pelajar menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian (online) kerana mereka perlu mengutamakan pelajaran," katanya kepada Bernama.

Syahira berkata pelbagai program keusahawanan yang dijalankan kerajaan telah berjaya meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang itu kepada 60 peratus tahun ini berbanding 20 peratus pada 2012.

"Memang tidak semua pelajar berminat dalam bidang keusahawanan ini tetapi melalui program yang dijalankan mereka mampu berfikir untuk menjadi usahawan," katanya.

Selain itu, kementerian tersebut juga menjalankan kerjasama dengan pihak industri dan agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menyediakan platform bagi pelajar menjalankan perniagaan.

-- BERNAMA